Artikel

Lima dekad WP makmur

- Diterbit 3 Februari 2024 9:00 AM MYT

SELAMAT ulang tahun kelahiran! Semalam 1 Februari 2024 ialah ulang tahun ke-50 Wilayah Persekutuan (WP) dengan mengambil kira perisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pertama pada 1 Februari 1974. Ini diikuti oleh Labuan 10 tahun kemudian pada 1 Februari 1984, seterusnya Putrajaya pada 1 Februari 2001.

Kuala Lumpur asalnya ialah sebahagian negeri Selangor, berkongsi sebagai ibu negeri Selangor dan ibu negara Malaysia. Pulau Labuan pula sebelumnya ditadbir oleh Sabah, sementara Putrajaya yang nama asalnya Prang Besar juga sebahagian negeri Selangor.

Kawan-kawan Kedai Kopi bangga melihat pembangunan dan kemajuan pesat dicapai oleh ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur unggul sebagai ibu negara dan pusat ekonomi serta kewangan terkenal. Kehebatannya setanding dengan ibu negara lain di dunia.

Labuan maju sebagai pusat kewangan pesisir pantai serta pulau pelancongan, terutama pelancongan maritim. Putrajaya pula megah sebagai pusat pentadbiran Persekutuan, berubah daripada sebuah kawasan terpencil menjadi kota metropolitan.

Jelas setiap Wilayah Persekutuan memiliki ciri dan fungsi tersendiri. Inilah keunikan dan keistimewaan yang tidak terdapat di negara lain. Terima kasih kepada para pemimpin terdahulu yang berpandangan jauh menjadikan keunikan ini realiti.

Jika pusat pentadbiran tidak berpindah ke Putrajaya misalnya, tentu keadaan di Kuala Lumpur semakin sesak dan padat dengan penduduk. Kesesakan lalu lintas semakin serius. Namun apabila pusat pentadbiran berpindah, sedikit sebanyak masalah berkurangan.

Untuk kemudahan, perkhidmatan Aliran Transit Massa (MRT) diwujud menghubungkan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Tidak perlu lagi membawa kenderaan sendiri dan dalam proses itu mengurangkan kesesakan jalan raya dan di pusat bandar.

Pelbagai kemudahan lain seperti perumahan, pengangkutan awam serta taman rekreasi disediakan agar orang ramai dapat menjalani kehidupan seharian lebih selesa dalam persekitaran yang serba kondusif.

Sistem pengangkutan awam sentiasa ditambah baik. Jalan-jalan baharu dibina atau jalan sedia ada dinaik taraf untuk melicinkan perjalanan bas atau teksi, juga orang ramai. Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel kini menjadi sebahagian keperluan hidup.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas