Berita

Lima agensi, sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan IT – Gobind

- Diterbit 24 Julai 2024 7:21 PM MYT

SEBANYAK lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 Julai lepas, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata agensi berkenaan ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Kedah.

Sementara sembilan syarikat swasta itu melibatkan sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan, katanya.

Gobind berkata gangguan itu bukanlah serangan siber dan terjadi ekoran kelemahan pada perisian kemas kini CrowdStrike sehingga menjejaskan sistem operasi Microsoft dan pengguna tidak dapat mengakses sistem komputer mereka.

“Walaupun bukan serangan siber, kementerian memandang perkara ini dengan serius. Ini kerana gangguan sebegini menunjukkan kelemahan dalam proses sistem teknologi wujud yang menyebabkan kerosakan dan kehilangan besar sekiranya berulang lagi,” katanya.

Justeru, beliau berkata tiga pelan diambil untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang antaranya pembekal perisian perlu menambah baik prosedur ujian sebelum pelaksanaannya (deployment) dan pembekal perisian perlu mempunyai ulasan berkala serta mengemas kini rancangan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata penting bagi sesuatu syarikat mempunyai pelan insiden tindak balas yang komprehensif dan strategi komunikasi untuk pihak bekepentingan menguruskan sebarang insiden dengan berkesan.

Gobind berkata insiden itu menunjukkan pentingnya tadbir urus yang baik dalam pengendalian platform digital dan kementerian telah menjalankan usaha berkenaan dengan memperkenalkan serta menambah baik Akta Keselamatan Siber 2024 dan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709). – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas