Selebriti

Liku-liku pengorbanan Harimau Malaya: The Untold Journey

- Diterbit 9 Ogos 2024 4:50 PM MYT

BUAH tangan terbaharu daripada pengarah terkenal tanah air, Dato’ Afdlin Shauki iaitu filem berjudul Harimau Malaya: The Untold Journey bakal ditayangkan pada 15 Ogos ini.

Filem terbitan 4wards Pictures Sdn Bhd itu mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan skuad Harimau Malaya selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku pengendali pada Januari 2022 dan permulaan era Kim Pan Gon di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun.

Untuk itu Wilayahku sempat berkongsi pengalaman manis pelakon yang membarisi filem tersebut antaranya Meerqeen, Aidil Aziz dan Sophia Albarakbah.

Cabaran Aidil bina badan

BAGI pelakon popular Aidil Aziz, bukan mudah untuk dirinya membawa watak sebagai Taufik yang merupakan kapten pasukan Harimau Malaya.

“Taufik ini seorang yang sangat berdisiplin, tegas dan bertanggungjawab terhadap pasukannya sama ada di padang atau luar padang. Matlamat Taufik hanya satu iaitu mahu membawa Malaysia layak ke Piala AFC.

“Namun disebabkan dia mengalami kecederaan, dia banyak meminta rakan sepasukan terus fokus agar dapat layak ke Piala AFC,” katanya.

Kongsi Aidil, dia juga mempunyai pantang tersendiri dalam menjayakan watak Taufik.

“Bercakap pasal watak Taufik, sudah tentu ada cabarannya. Antaranya sebelum ini badan saya bersaiz M, saya terpaksa ‘besarkan’ badan ke saiz L supaya nampak lebih fit dan dapat potongan seperti pemain bola.

“Jadi, saya kenalah menggandakan senaman, jaga pemakanan, supaya watak Taufik sebagai Kapten Harimau Malaya akan menyerlah. Secara fizikalnya kita fit, dalam masa yang sama dapat bantu mental untuk fokus kepada lakonan. Kalau fizikal tak fit untuk perform, lakonan pasti akan terganggu.

“Alhamdulillah, segala usaha keras untuk kekalkan fit, gandakan senaman kardio, sangat membantu dan membolehkan saya melepasi cabaran sepanjang shooting,” ujarnya.

Tambahnya mereka seharian bermain bola, berpanas, berhujan dan bersengkang mata kerana penggambaran biasanya bermula pada pukul 7 malam hingga ke 6 pagi.

“Walaupun penat namun sangat seronok. Semua ini adalah demi menjayakan babak-babak yang ada dalam filem Harimau Malaya,” ujarnya.

Memori manis Meerqeen

JIKA sebelum ini, peminat menonton lakonan Meerqeen, 23, dalam naskhah cinta yang menyerlahkan sisi romantisnya, namun kali ini agak berbeza dalam filem Harimau Malaya.

Pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu mengaku tidak berfikir panjang apabila ditawarkan watak sebagai Rashdan iaitu seorang pemain bola profesional.

Apa yang menarik, Meerqeen akui teruja dapat berlakon bersama pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

“Faisal seorang yang mesra, kelakar. Orangnya pun sangat merendah diri walaupun dia sebenarnya hebat. Siapa tak kenal pemain bola tempatan yang memberi inspirasi kepada ramai orang,” ujarnya.

Tambahnya untuk filem tersebut, dia tidak kisah bermandi peluh di bawah cahaya matahari.

“Saya tak risau kulit terbakar kerana mahukan yang terbaik. Kulit muka mengelupas. Biarlah ada yang kata tak takut ke wajah berbirat, bagi saya kepuasan serta hasil pengorbanan berpanas hujan ini berbaloi.

“Selain itu, saya juga turut berdepan kecederaan pada bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran namun ia tidak mematahkan semangat kerana sudah lama saya menanti karakter berkait sukan yang diminati.

“Jujurnya, selain cedera saya juga berperang mulut dengan seorang pelakon lain. Kami semua penat. Mana tidaknya, kami jalani penggambaran di padang itu selama lebih seminggu.

“Harimau Malaya mengumpulkan 22 lelaki dan semuanya ada ego masing-masing, ditambah berulang kali melakukan adegan sama dalam cuaca terik, tentu cepat naik darah namun ini semua pengalaman manis. Isu tersebut pun selesai pada hari sama,” katanya.

Dia turut mengakui terlalu banyak pengalaman manis sepanjang penggambaran filem di bawah arahan Datuk Afdlin Shauki yang amat dikaguminya.

Watak Karina berbeza

PELAKON Sophia Albarakbah, 30, yang membawa watak sebagai Karina mengakui dia tidak tahu tentang bola sebelum ini, namun ada sebab tersendiri kenapa dia menerima tawaran berlakon filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

“Selain tidak mahu melepaskan peluang berlakon bawah arahan Datuk Afdlin Shauki, saya juga bawa watak yang lain daripada lain. Karina seorang artis yang juga teman wanita kepada salah seorang pemain bola.

“Karina ini seorang yang energetic, ekstrovert dan gedik-gedik sikit. Dia jenis yang selalu buat content. Sangat berbeza dengan saya. Saya sebaliknya jenis introvert dan tak outgoing sangat. Tapi memang seronok sebab dapat mainkan watak yang lain daripada diri sebenar saya,” ujarnya.

Menyentuh tentang impiannya sejak sekian lama yang mahu berlakon di bawah Afdlin Shauki, Sophia mengakui sanggup belajar tentang bola semata-mata untuk filem tersebut.

“Sejujurnya saya tak tahu apa-apa pasal bola. Apabila bercakap pasal sukan, saya more to equestrian iaitu sukan berkuda. Tapi sebab dah bawa watak ini, saya memang buat homework pasal bola sepak.

“Saya ambil watak ini sebab barisan pelakon dan pengarah. Jadi saya pun rasa rugi jika lepaskan peluang ini. Kedua sebab Harimau Malaya. Bukan hari-hari dapat rezeki berlakon cerita begini,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas