Oleh ZULKIFLI SULONG
MINGGU lalu saya pulang ke kampung di Kuala Terengganu. Sepanjang perjalanan dari Rawang, Selangor ke Kuala Terengganu, saya melalui Selayang, Gombak di Selangor, terus ke lebuh raya Karak, melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) iaitu Temerloh, Maran dan Kuantan seterusnya ke Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) melalui Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.
Apa yang paling menarik adalah sepanjang perjalanan itu penuh dengan kerja-kerja menurap jalan.
Ada yang sudah menyelesaikan kerja-kerja menurap jalan tetapi belum menyelesaikan garisan jalan, ada juga yang sudah selesai sepenuhnya dan tidak kurang juga yang masih dalam kerja-kerja penurapan.
Saya bertanya kepada dua rakan saya, apakah fenomena ini juga berlaku di kawasan masing-masing.
Rakan saya yang datang ke pejabatnya di Kuala Lumpur saban minggu dari sebuah kawasan Felda di Pahang untuk bermesyuarat juga memberitahu perkara yang sama.
“Maran, Temerloh bahkan juga sekitar Gombak, saya jumpa banyak sekali jalan yang sedang atau baru diturap, baik di lebuh raya apatah lagi jalan negeri dan kampung.
“Saya rasa ini petanda kerajaan mempunyai duit sekarang,” kata beliau sebagaimana yang dilaporkan oleh Harapandaily.com, sebuah laman web pro kerajaan.
Namun bagi seorang bekas kakitangan kerajaan, ia fenomena biasa selepas bajet diluluskan dan menjelang akhir tahun.
“Biasanya JKR akan menghabiskan peruntukan tahunan di hujung-hujung tahun ini tetapi fenomena menurap jalan tahun ini agak luar biasa.
“Saya rasa pun begitu, kerajaan ada duit sekarang,” kata beliau.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai media menyiarkan tanggapan positif tentang ekonomi negara.
Para pelabur berlumba-lumba mengumumkan cadangan pelaburan mereka ke negara ini. Ringgit Malaysia juga menjadi sangat baik berbanding mata wang lain di dunia ini.
Bank Dunia pula menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus yang diunjurkan sebelumnya.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata unjuran yang disemak semula itu ialah 0.6 mata peratusan atau 14 peratus lebih tinggi daripada yang diunjurkan sebelum ini, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan, pelaburan dan aktiviti perdagangan.
Katanya, Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dan pelaburan domestik yang kukuh pada separuh pertama tahun ini dan juga mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dalam eksport.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata Malaysia sedang berada di landasan untuk mencapai semula status Harimau Asia.
Ini berdasarkan tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi negara yang memberangsangkan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga berkata Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 sekiranya ekonomi negara tumbuh empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Katanya, Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 jika ekonomi tumbuh empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh sekitar RM4.20 berbanding dolar AS.
Prestasi ekonomi positif dan kemampuan menjadi hab kewangan antarabangsa penting untuk mencapai status tersebut.
Beliau berkata sekiranya sasaran ini dapat dicapai, Malaysia akan dilihat sebagai negara berpotensi yang seterusnya berupaya bangkit kembali menjadi Harimau Asia.
Semua kenyataan ini dibuat pertengahan tahun ini iaitu Julai 2024 lalu. Ketika itu ramai yang masih kurang yakin apakah ia berdasarkan maklumat yang betul atau sekadar halwa telinga yang sedap didengar semata-mata daripada pemimpin kerajaan.
Dengan kerja-kerja penurapan jalan yang berlaku secara agresif di seluruh negara sekarang, semakin ramai yang yakin bahawa pengumuman kerajaan itu bukan penyedap telinga sahaja tetapi ia adalah realiti.
Ramai sedar, jika kerajaan tidak mempunyai kewangan yang cukup, kerja-kerja penurapan jalan ini bukan perbelanjaan yang menjadi keutamaan kerajaan. Namun dengan kerja-kerja yang boleh dilihat dengan mata kasar ini, maka semakin ramai yakin ekonomi kita semakin kukuh.
Seeing is believing, kata pepatah Inggeris yang bermaksud lihat dan percaya. Kalau selama ini orang ramai hanya mendengar dari mulut pemimpin dan disiarkan oleh media sahaja, mereka kurang yakin. Namun apabila melihat sendiri dengan mata mereka, kepercayaan mula datang.
Ketika berada di kampung di Kuala Terengganu, sebagaimana biasa saya selalu bersembang dengan abang ipar atau biras saya yang pernah memegang jawatan yang kanan dalam agensi kerajaan.
Beliau adalah penyokong kuat kerajaan negeri Terengganu dan sentiasa mempunyai tanggapan negatif terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau menjadi Perdana Menteri padahal beliau adalah penyokong kuat Anwar ketika masih bekerja dahulu.
“Anwar ini mengambil langkah yang silap apabila bertindak kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin. Nampak sangat itu dendam politik,” kata beliau kepada saya. Sebelum ini dia juga berkata demikian tetapi saya tidak bersedia untuk menjawabnya.
Tetapi apabila beliau sekali lagi mengulang dakwaan itu baru-baru ini, saya berkata kepadanya, “Kalau Anwar menjaga kepentingan kedudukannya sebagai PM, kenapa beliau kacau Daim. Padahal Anwar tahu Daim mempunyai wang yang banyak dan akan gunakan wangnya untuk mengganggu beliau?
“Bagi saya Anwar tidak kesah itu semua. Beliau hanya lakukan apa yang beliau fikirkan betul untuk negara. Kalau selama ini tiada yang berani mengusik Daim, sekarang Anwar memberikan kebebasan sepenuhnya untuk mana-mana pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas masing-masing hatta terhadap Daim.”
Selepas berjaya memberikan persepsi yang baik untuk negara di mata luar dari segi ekonomi sehingga pelaburan mencurah masuk, kini Anwar berusaha membetulkan hal ehwal dalam negara dan kepentingan umat Islam pula.
Itulah yang dilakukan Anwar dengan cara menyusun semula subsidi termasuk RON95 pertengahan tahun depan selepas melakukannya untuk diesel sebelum ini dan memperjuangkan nasib umat Palestin di pentas dunia.
Dalam masa sama, beliau mula memulangkan sedikit sebanyak dulu hasil kerja beliau untuk rakyat dengan mengemaskan jalan raya mereka.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.