Artikel

Lif premis lima tingkat

- Diterbit 19 Oktober 2023 7:20 PM MYT

BARU-BARU ini kawan-kawan Kedai Kopi berkunjung ke rumah seorang rakan yang terletak di tingkat lima atau tingkat paling atas, salah satu blok apartmen di ibu kota.

Berpeluh juga untuk mendaki tangga ke tingkat tersebut kerana tidak ada lif. Pada usia yang sudah dianggap otai, memang terasa sakit kaki dan lutut menaiki tangga satu persatu. Rasa lega apabila akhirnya sampai ke unit kediaman rakan.

Sukar untuk kawan-kawan Kedai Kopi bayangkan kepayahan mereka yang tinggal di unit atas atau tingkat tiga dan empat, saban hari turun naik tangga untuk sampai ke rumah. Jika hanya membawa badan pun terasa letih, apatah lagi jika membawa beban seperti barang-barang berat.

Mungkin juga bagi yang tinggal di situ ia bukan isu. Bak kata orang, alah bisa tegal biasa. Kerana sudah menjadi rutin harian, ia dianggap biasa. Namun bagi yang sekali-sekala seperti kawan-kawan Kedai Kopi memang terasa lelahnya.

Ketiadaan khidmat lif bagi unit yang mempunyai lima tingkat atau kurang adalah perkara biasa di bangunan komersial atau kediaman. Ini kerana hanya bangunan melebihi lima tingkat diwajibkan ada lif. Namun begitu ada juga bangunan lima tingkat yang ada lif.

Kerana itu pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi, kerajaan wajar mengkaji semula peraturan dengan mewajibkan lif disediakan bagi bangunan lima tingkat. Langkah ini akan memberi kesenangan untuk para penghuni.

Lif akan memudahkan pergerakan turun naik penghuni, terutama ketika kecemasan seperti membawa pesakit ke hospital. Kawan-kawan Kedai Kopi juga pernah lihat sukarnya membawa jenazah turun dari tingkat atas. Perlu bantuan ramai orang.

Malah dikatakan mereka yang tinggal di tingkat atas kurang minat kerap turun naik, terutama yang sudah berusia. Apabila sudah naik ke rumah, mereka lebih suka duduk berehat. Jarang mereka turun, kecuali jika perlu.

Diharap pada masa akan datang akan berlaku perubahan dalam pembinaan unit kediaman atau pejabat lima tingkat. Berilah kemudahan kepada penghuni walaupun kemudahan itu tidak seperti mudahnya mereka yang mendiami unit atas tanah atau ‘landed property’.

Perlu diingat mereka yang mendiami unit tiada lif ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan keadaan fizikal berlainan. Ada yang sudah lanjut usia, ada yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya. Wajar sangat mereka disantuni. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas