Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Liat bayar sewa PPR

- Diterbit 21 Jun 2024 10:40 AM MYT

SUDAHLAH degil, liat bayar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), boleh pula naik angin dan marah apabila para pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkunjung untuk bertanya mengenai tunggakan sewa.

Kisah ini dilapor berlaku di salah sebuah PPR di ibu kota. Penyewa berkenaan berang apabila pegawai DBKL muncul di hadapan pintu kediamannya bertujuan mengutip sewa. Dikhabarkan penghuni tersebut mempunyai tunggakan berbulan-bulan.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, memang sangat wajar DBKL datang bertanya setelah sekian lama sewa tidak dibayar, pada hal sewa PPR hanyalah RM124 sebulan. Namun penyewa berkenaan mendakwa walaupun jumlah sebanyak itu dia tidak mampu atas alasan suaminya sedang sakit.

Malah dia memarahi pegawai DBKL yang disifatkannya tidak bersimpati dengan masalah dihadapi. Penyewa tersebut juga tidak mahu menerima penjelasan pegawai DBKL untuk membantu, termasuk membayar sewa tertunggak sacara ansuran.

Kawan-kawan Kedai Kopi percaya ini bukan kes terpencil. Banyak lagi kes penghuni PPR atau Perumahan Awam (PA) DBKL liat membayar sewa sehingga menyebabkan DBKL menanggung beban tunggakan mencecah jutaan ringgit.

Sikap penyewa sebegini memang tidak bertanggungjawab. Kadar sewa RM124 sebulan sangat rendah berbanding ratusan, malah ribuan ringgit jika menyewa rumah bukan PPR atau PA.

Barisan yang menunggu mendapatkan rumah PPR atau PA sangat panjang. Ada yang menunggu sehingga bertahun-tahun masih belum dapat. Fikir-fikirkanlah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas