LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan akan mengeluarkan resit rasmi dengan format baharu sebagai bukti terimaan bayaran cukai yang dibuat secara manual di kaunter
Pusat Pengurusan Terimaan Hasil Kuala Lumpur (PPTHKL) mulai 20 Januari 2025.
HASiL dalam kenyataan berkata, ia susulan pindaan Pekeliling Perbendaharaan (PP) PS 4.1: Garis Panduan Permohonan Borang Kewangan Kerajaan yang telah diluluskan oleh Kementerian
Kewangan pada Oktober 2024.
“Perkara tersebut selaras dengan penggunaan e-Perkhidmatan secara mandatori bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang telah disediakan oleh HASiL secara dalam talian mulai 1 Januari
2024.
“Jenis bayaran cukai secara manual yang diterima di PPTHKL kini terhad seperti bayaran kompaun dan cukai pendapatan (menggunakan kad debit / kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia).
“PPTHKL akan mengeluarkan resit rasmi asal dan salinan dalam format baharu kepada pembayar cukai bagi kedua-dua jenis terimaan bayaran di atas,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, bagi bayaran selain daripada yang tersenarai di atas, salinan resit rasmi juga boleh diperoleh menerusi kaedah-kaedah seperti Portal MyTax melalui ‘Perkhidmatan ezHasil’ > ByrHASiL; portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL; Kaunter Pos Malaysia dan bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL; mesin deposit tunai bank yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL dan mesin juruwang automatik (ATM) bank yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL. – WILAYAHKU