TIGA lelaki cedera ringan dalam kejadian letupan dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pengisian gas penyaman udara di kompleks beli belah Plaza GM dekat Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur petang tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Azrul Mat Zenan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan letupan di dalam premis pada pukul 3.20 petang dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati letupan berpunca daripada kerja pengisian gas penyaman udara.
“Letupan mengakibatkan tiga lelaki cedera serta terdapat runtuhan siling premis di tingkat tujuh.
“Mangsa diserahkan kepada pihak pegawai perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, tiada sebarang kebakaran berlaku dan operasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – WILAYAHKU
caption:
KESAN letupan dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pengisian gas penyaman udara di Plaza GM, Kuala Lumpur.