RUMAH Terbuka Parlimen Sepang KASIH D’Aidilfitri yang dijadualkan berlangsung pada 19 April 2025 (Sabtu) dibatalkan.
Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu berkata ia sebagai tanda solidariti dan penghormatan kepada mangsa-mangsa Letupan Saluran Gas di Putra Heights.
Dalam pada itu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pihaknya menyambut baik perancangan kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang sebagai salah satu penempatan sementara buat mangsa terlibat.
“Ia sebagai salah satu penempatan sementara di rumah Smart Sewa dengan subsidi kerajaan negeri kepada lebih kurang 116 keluarga mangsa letupan saluran gas di Putra Heights, Puchong.
“Saya bersama Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang dengan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan mengalu-alukan 116 keluarga mangsa ini dan siap sedia membantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Aiman Athirah berkata sebagai langkah awal, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang akan menyediakan sejumlah 232 buah tilam bersaiz Queen untuk diagihkan kepada keluarga mangsa terbabit yang dijadualkan akan berpindah masuk ke premis berkaitan mulai minggu ini.
“Ia akan diselaraskan oleh Pegawai Kebajikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang,” katanya.
Kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah dan 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar. – WILAYAHKU