Berita

Letupan paip gas Putra Heights: bencana teknologi paling serius, gesa siasatan menyeluruh -Pakar

- Diterbit 3 April 2025 12:40 PM MYT

LETUPAN dan kebakaran saluran paip gas bawah tanah di sini pada 1 April lalu disifatkan sebagai salah satu bencana teknologi paling serius di Malaysia, dengan kesannya melibatkan lebih 300 rumah terjejas dan 150 individu cedera.

Pakar geologi dan bencana alam, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, menegaskan bahawa insiden ini memerlukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar dan mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Kejadian ini bukan bencana alam, tetapi bencana teknologi yang berpunca daripada kegagalan infrastruktur manusia. Ia berbeza dengan bencana tabii seperti tanah runtuh, banjir atau hakisan yang dipengaruhi faktor semula jadi,” katanya.

PAKAR geologi dan bencana alam, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo

Dalam kejadian jam 8.00 pagi itu, satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar sebelum api menjulang setinggi 100 meter ke udara.

Ibrahim menjelaskan bahawa tekanan gas tinggi dalam saluran paip bawah tanah boleh menjadi faktor utama letupan sehingga menghasilkan kawah besar seperti hentaman meteor.

“Kawah letupan yang kelihatan jelas ini dianggarkan berdiameter 30 meter dengan kedalaman 10 meter, menunjukkan impak luar biasa akibat tekanan gas yang tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihak berwajib perlu menyediakan laporan terperinci dan telus mengenai insiden ini bagi memastikan langkah pencegahan lebih berkesan dapat diambil.

“Kejadian ini memberi amaran serius terhadap aspek keselamatan infrastruktur gas di Malaysia. Jika di Eropah, saluran paip gas adalah prasarana asas yang dibina dengan sistem keselamatan tinggi, sedangkan di Malaysia ia masih terhad kepada pengangkutan gas antara lokasi tertentu.

“Pendedahan menyeluruh mengenai punca letupan serta kelemahan dalam sistem saluran paip perlu dibuat, bukan sahaja untuk mengenal pasti kesilapan tetapi juga sebagai langkah perlindungan masa depan,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas