Berita

Letupan paip gas Putra Heights: 219 rumah dikategorikan terjejas

- Diterbit 6 April 2025 5:30 PM MYT

SEBANYAK 219 rumah diklasifikasikan terjejas susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights manakala 220 unit lagi selamat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan penilaian terperinci kali kedua yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merangkumi radius lebih besar iaitu 325 meter dari pusat letupan, melibatkan keseluruhan 439 kediaman.

Menurut beliau, daripada jumlah 219 unit rumah terbabit, 87 unit mengalami kerosakan melebihi 20 peratus (kerosakan besar) dan 132 mengalami kerosakan kecil (kurang daripada 20 peratus).

“Rumah-rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau tuan rumah mulai hari ini. Senarai rumah tersebut akan diedarkan dan dimaklumkan kepada tuan rumah.

“Sehingga sekarang sebanyak 130 rumah boleh diduduki semula manakala 45 rumah telah pindah. Pada hari ini, sebanyak 24 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru. Jadi, jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154 rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.

Katanya, didapati paip kumbahan itu dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan yang sedia ada di situ.

Keterangan lanjut jelasnya, didapati kerja-kerja korekan yang dibuat oleh kontraktor berkenaan tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan tersebut dengan lebar korekan adalah 1.5 meter.

“Kerja-kerja korekan dan pemasangan ini telah dilakukan sepanjang lebih kurang 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.

“Kerja-kerja galian dilakukan dengan tiga excavator, satu bulldozer dan satu backhoe ini sedang diteruskan lagi untuk membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip Petronas yang dipercayai berada di kedalaman antara enam dan tujuh meter.

“Pihak polis dapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter,” katanya.

Keadaaan fizikal paip ini tambahnya, tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata

“Adakah kerja-kerja korekan oleh kontraktor ini ada mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini sehingga keseluruhan pipeline di kawasan tersebut didedahkan dan disiasat lanjut,” katanya.

Beliau berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, pihaknya telah menerima sebanyak 642 laporan polis.

“Dan bagi siasatan polis, sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam melibatkan pelbagai pihak termasuk satu laporan polis yang menyatakan ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac lalu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas