SERAMAI 538 mangsa kehilangan tempat tinggal susulan letupan saluran paip gas Petronas di sini, dengan jumlah itu meningkat sejak semalam melibatkan 120 keluarga terjejas.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan terkini memaklumkan angka tersebut meningkat 54 orang sejak tengah malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan setakat ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi semalam, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip gas sepanjang 500 meter, sekali gus mencetuskan siri letupan kuat yang menggegarkan kawasan sekitar.
Api marak dengan haba ekstrem dikatakan telah mencairkan plastik dan logam dalam radius yang luas, manakala beberapa kediaman turut musnah akibat kebakaran kerana kedudukannya berhampiran paip gas.
Sehingga kini, 145 individu dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan Hospital Sungai Buloh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, berkata majoriti mangsa mengalami kesan melecur tahap dua dan tiga.