SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyalurkan kemudahan digital berupa komputer riba kepada 37 mahasiswa institusi pengajian tinggi yang kehilangan harta benda akibat insiden kebakaran di Putra Heights.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan pemberian tersebut bagi membantu memudahkan urusan pembelajaran dan komunikasi pelajar terlibat.
“Pemberian tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dalam satu majlis ringkas baru-baru ini semasa lawatan beliau bersama wakil Kementerian Komunikasi dan MCMC ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MCMC akan menyediakan peranti telefon bimbit kepada ketua isi rumah yang terlibat serta komputer riba kepada sekolah-sekolah yang terkesan di sekitar Putra Heights.
“Pemberian kemudahan ini akan disampaikan secara berperingkat dalam tempoh yang terdekat.
“Secara keseluruhannya, MCMC akan mengagih sejumlah 302 unit komputer riba (37 unit kepada mahasiswa dan 265 unit kepada sekolah) serta 620 unit telefon bimbit kepada setiap isi rumah yang terkesan.
“MCMC berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mangsa khususnya dalam urusan pembelajaran, perkhidmatan dalam talian serta perhubungan komunikasi yang penting terutamanya dalam situasi ini,” katanya. – WILAYAHKU