Berita

Letupan alat kelui di Lubnan: Semua kelengkapan komunikasi perlu diperakui MCMC

Gambar hiasan
- Diterbit 11 Disember 2024 10:33 AM MYT

SEMUA kelengkapan komunikasi termasuk pager dan walkie-talkie perlu mendapat perakuan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Demikian ditegaskan Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat mengenai langkah kerajaan dalam memastikan tiada pengeksploitasian teknologi telekomunikasi bagi tujuan keganasan.

Ini susulan kejadian peranti pager atau alat kelui diletupkan sehingga mengorbankan ramai warga awam di Lubnan pada September lalu.

Jelas kementerian itu, pemerakuan tersebut bertujuan memastikan kelengkapan komunikasi mematuhi kod teknik atau standard yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia katanya, meliputi aspek keselamatan elektrik, keserasian elektromagnetik, kesalingbolehkendalian dan penggunaan frekuensi radio.

“Setiap kelengkapan yang diperakui perlu memaparkan tanda atau label pemerakuan yang diluluskan oleh MCMC atau agensi pemerakuan yang berdaftar.

“Sebarang perubahan terhadap kelengkapan komunikasi boleh menyebabkan terbatalnya sebarang pemerakuan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Kementerian Komunikasi memberitahu, ia turut tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang melarang pengimportan kelengkapan komunikasi ke dalam negara kecuali dengan suatu Sijil Pematuhan(COA) bagi memastikan pematuhan kepada kod teknik atau standard yang ditetapkan MCMC.

Sehubungan itu katanya, MCMC telah mendaftarkan SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM) sebagai agensi pemerakuan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pemerakuan kelengkapan komunikasi di Malaysia.

Katanya, pihak SIRIM juga telah dilantik oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi pengeluaran COA untuk kelengkapan komunikasi di bawah Perintah
Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Tambahnya, MCMC sentiasa memantau penjualan kelengkapan komunikasi di pasaran terbuka dan dalam talian melalui beberapa program pemantauan iaitu Program Pemantauan Pasaran; Program Pengumpulan Maklumat Kelengkapan Komunikasi; dan Program Pemantauan Kelengkapan Komunikasi di Platfrom Dalam Talian.

“Namun, perlu difahami bahawa pemerakuan yang dilaksanakan oleh MCMC lebih berfokus kepada aspek teknikal seperti keselamatan elektrik, penggunaan frekuensi radio dan kepatuhan kepada kod teknik dan standard yang berkaitan.

“Aspek keselamatan fizikal lain yang lebih meluas termasuk penyalahgunaan dan pengubahsuaian kelengkapan komunikasi untuk tujuan keganasan berada di luar skop kawalan MCMC dan melibatkan bidang kuasa agensi-agensi lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas