PROGRAM Lestari Niaga@Kuala Lumpur yang merupakan salah satu fokus keutamaan di bawah Komuniti Inklusif akan diteruskan.
Bercakap mengenai perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff menyatakan bahawa pihaknya komited untuk meneruskan program berkenaan yang bertepatan dengan usaha untuk meningkatkan golongan peniaga dan penjaja kecil di Kuala Lumpur.
“Untuk pembangunan penjaja dan peniaga kecil di Kuala Lumpur, sejumlah RM26.9 juta disediakan di bawah peruntukan mengurus yang sebahagian besarnya meliputi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih bangunan serta pengurusan bazar perayaan.
“Di bawah Peruntukan Pembangunan pula, sejumlah RM32 juta disediakan bagi pembangunan, pembinaan serta naik taraf pasar dan pusat penjaja di seluruh kawasan Kuala Lumpur,” katanya dalam Belanjawan DBKL 2025 Khamis lalu.
Maimunah berkata, antara intipati utama bagi sektor ini adalah bagi projek pembangunan semula Pasar Jalan Raja Bot yang melibatkan empat fasa pembangunan yang bermula pada 8 Mei 2014 dengan jumlah kos keseluruhan projek adalah RM125.8 juta.
“Fasa 1 telah siap sepenuhnya pada April 2016 dan telah sepenuhnya beroperasi dengan menempatkan 180 peniaga. Manakala bagi fasa 2, ia telah disiapkan pada Februari 2024 dan mula beroperasi Mac 2024 dengan jumlah 505 peniaga.
“Fasa 3 pula masih di dalam pelaksanaan pembangunan dan dijangka siap pada Julai 2026,” katanya.
Tambah Datuk Bandar, untuk tahun 2025 sejumlah RM15 juta telah diperuntukkan di bawah peruntukan pembangunan bagi fasa 3 ini.
Kata Maimunah lagi, selain Pasar Raja Bot, Projek Pembangunan Bazaria Genting Klang juga adalah salah satu projek mega yang akan memberi manfaat kepada kumpulan peniaga dan penjaja di Kuala Lumpur.
“Projek ini mula dibangunkan pada 6 Julai 2017 dengan nilai kos RM69.9 juta dan dijangka beroperasi pada awal 2025 dengan jumlah peruntukan RM3.5 juta,” katanya. – WILAYAHKU