Berita

Lesen perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet demi kebaikan

- Diterbit 2 Ogos 2024 10:10 AM MYT

MUTAKHIR ini kita disajikan dengan pelbagai kisah kurang enak dalam kalangan masyarakat akibat penyalahgunaan media sosial yang dilihat semakin berleluasa.

Antaranya kes buli siber sehingga menyebabkan berlakunya kes bunuh diri disebabkan stres yang melampau selain fitnah dan pergaduhan sesama sendiri.

Menyedari perkara tersebut serta demi kebaikan semua pihak, kerajaan bakal memperkenalkan lesen buat semua pengguna media sosial sebagai langkah keselamatan bersama.

Malah, kegagalan memperoleh Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi yang dikuat kuasa bermula 1 Januari depan boleh dikenakan tindakan perundangan sewajarnya mengikut Akta 588.

Nampaknya di sebalik langkah yang tepat tersebut, ia bukanlah sesuatu yang digemari oleh sesetengah pihak kerana bagi mereka ia hanyalah menjadi beban buat masyarakat.

Segelintir pengguna media sosial mengkritik tindakan bijak tersebut kerana bagi mereka ia hanya dilakukan kerana pihak kerajaan ’koyak’ dengan komen negatif yang dilemparkan kepada kerajaan.

Bagi mereka ia hanyalah bermotif politik dan bukanlah untuk melindungi rakyat sepenuhnya. Malah, ada yang turut mempertikaikan tugas kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang siber.

Memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) baru-baru ini, beliau menegaskan kerajaan perlu mengambil langkah untuk membanteras gejala tersebut meskipun bukanlah pilihan majoriti.

“Kerajaan punyai masalah sekarang apabila kita cuba perkenalkan beberapa sekatan yang tidak semestinya popular kerana mereka yang yakin terhadap kebebasan tanpa kawalan, berhak untuk ekspresikan pandangan tanpa mengambil kira impaknya kepada masyarakat,” katanya.

Malah, usaha menangani lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber menerusi media sosial memerlukan lebih banyak peraturan.

“Mereka mengabaikan hakikat bahawa ada wanita mengambil keputusan, terpaksa atau terdesak untuk melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan sesuatu pencabulan,” katanya dipercayai merujuk kes kematian pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu, 29, atau Esha pada 5 Julai lalu.

Satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal 1 Ogos ini, selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

Rasanya tidak perlu mempertikaikan apa yang diputuskan oleh pihak kerajaan demi kepentingan bersama. Jika tidak melakukan sebarang kesilapan kenapa perlu takut? – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas