KEPERLUAN pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial telah diwartakan pada 1 Ogos 2024 dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Penyedia perkhidmatan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata keperluan pelesenan di bawah Akta 588 ini adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dan memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.
“Ini termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat dengan memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah dalam talian
seperti penipuan dalam talian, jenayah seksual dan buli siber.
“Di bawah Akta 588, terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) adakah langkah kerajaan untuk untuk mengadakan peraturan supaya firma-firma media sosial mulai Januari tahun 2025 memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia tidak akan menjejaskan peluang dan kebebasan rakyat negara ini.
Tambah Fahmi, pelaksanaan kerangka pelesenan di bawah Akta 588 ini adalah bertujuan untuk menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi
dan pembangunan.
“Penguatkuasaan kerangka pelesenan ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kerana hanya penyedia perkhidmatan sahaja yang diwajibkan untuk mendapatkan lesen yang berkaitan daripada Suruhanjaya Komunikasi Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Pengguna akan terus dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat,” ujar beliau. – WILAYAHKU