LANGKAH proaktif kerajaan mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah bijak dan tepat.
Penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata ia mampu memberi impak positif terhadap ekosistem media sosial negara khususnya bagi kes-kes berkaitan dengan jenayah.
Menurutnya, perkara tersebut sangat dinantikan kerana ia dapat memberi kelegaan kepada masyarakat supaya bebas menggunakan media sosial namun pada masa sama tertakluk kepada perundangan.
“Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon lesen adalah amat digalakkan.
“Malah, ia juga penting bagi memastikan pengawalan dari segi elemen-elemen akan datang seperti kecerdasan buatan (AI) dan lebih membimbangkan ialah kesan AI generatif yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk maklumat atau kandungan mengelirukan mengundang kelakuan jenayah tidak diingini.
“Ini adalah cabaran dalam kita menghadapi teknologi masa kini, di mana penting untuk kita mendepani dengan satu bentuk tatakelola penggunaan media sosial yang lebih bijak, pintar, berinovasi dan yang paling penting berasaskan identiti kerajaan dan rukun negara,” katanya kepada Wilayahku.
Tambah Noor Nirwandy, semua pihak harus bekerjasama menyokong dan pada masa sama menambah baik dari semasa ke semasa untuk manfaat bersama.
“Setiap pengamal media sosial dan pemberi perkhidmatan harus wajib memahami latar belakang budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa.
“Agar lebih mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan bersama kita boleh membentuk satu penggunaan ekosistem media sosial yang lebih baik dalam mendepani cabaran-cabaran yang akan datang serta membentuk negara ke arah perkara yang lebih baik di masa hadapan.
“Ini salah satu langkah yang dilihat bertepatan pada masanya dan ia perlu dilaksanakan dengan kerjasama daripada semua pihak secara berterusan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, beliau mencadangkan satu jawatankuasa diwujudkan yang terdiri daripada pakar media sosial, perang saraf dan generasi muda bagi perihal media sosial.
“Supaya kita dapat mewujudkan kerangka yang lebih jelas serta terkehadapan dalam menghadapi ancaman di samping memastikan supaya tidak ada penindasan terhadap hak asasi di dalam negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Ia juga penting bagi membentuk satu identiti negara di dalam media sosial supaya pemikiran semua pengguna media sosial memegang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta menggunakan satu bentuk tatakelola media sosial yang lebih jelas berdasarkan prinsip identiti negara yang sebenar,” katanya.
Sementara itu, baru-baru ini media melaporkan peraturan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet yang bakal diperkenal oleh kerajaan adalah bertujuan mengatasi penyebaran jenayah serta maklumat berbahaya. – WILAYAHKU