SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan peranan pentingnya membantu pihak berkuasa Singapura menahan seorang taikun berprofil tinggi yang telah melarikan diri selama 19 tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, operasi bermula apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura mengemukakan permohonan bantuan kepada SPRM bagi mengesahkan dan mengesan suspek-suspek yang terlibat.
Menurut beliau, pada April lalu, Pengarah CPIB telah melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan kes tersebut secara terperinci.
“Susulan mesyuarat tersebut, CPIB menghantar permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971.
“Sebelum pelaksanaan waran, pasukan risikan SPRM telah mengumpulkan maklumat penting termasuk foto pemantauan dan butiran peribadi suspek,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, analisis lanjut oleh CPIB menggunakan teknologi pengecaman wajah menunjukkan kemungkinan 70 peratus bahawa salah seorang individu adalah suspek yang dicari.
“Dengan kerjasama SPRM, lokasi serta butiran peribadi suspek termasuk nombor pasport dan telefon berjaya dikesan.
“Seterusnya, pejabat SPRM Johor telah melaksanakan tangkapan tersebut, menandakan kemuncak kepada operasi menyeluruh yang melibatkan pengumpulan risikan, pemantauan, dan kerjasama erat antara agensi,” katanya.
Menurutnya, operasi itu menunjukkan komitmen SPRM, melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan.
Katanya, ia sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian maklumat risikan, pemantauan, serta kolaborasi agensi dalam menegakkan keadilan.
Selepas hampir dua dekad dalam pelarian, usahawan Singapura, Ng Teck Lee yang terbabit dalam kes penyelewengan dana bernilai S$72 juta ditahan bersama isterinya, Thor Chwee Hwa, di Johor Bahru, semalam.
Menurut laporan Straits Times, pasangan itu sudah melarikan diri sejak 2005 selepas Teck Lee, bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kitar semula yang kini gulung tikar didakwa menyalahgunakan dana sebanyak AS$51 juta.
Siasatan mendapati suspek bersama Ketua Pegawai Kewangan syarikat dan beberapa kakitangan lain berkomplot dalam penjualan 62 penghantaran (sekitar 89 tan) sisa elektronik antara tahun 2003 hingga 2004. – WILAYAHKU