PASUKAN koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1) yang diwakili Les Chanteurs Senior dan Junior mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dan perak di pertandingan koir peringkat antarabangsa, Malaysian Choral Eisteddfod (MCE).
Les Chanteurs Senior yang dibarisi murid 10 hingga 12 tahun meraih pingat emas selepas mengumpul 85.60 mata manakala Les Chanteurs Junior mengutip pingat perak dengan 76.73 mata.
Les Chanteurs Senior yang dipimpin konduktor Azahar Abdullah berjaya memukau juri dengan lantunan dua lagu iaitu Hanya di Mercu dibawa Ayu Damit dan Dance oleh Robert T. Gibson.
Les Chanteurs Junior yang dipimpin oleh konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin pula menyanyikan dua lagu, Jangan Menyerah daripada D’Masiv dan Eneza Upendo oleh Jim Papoulis.
Mereka turut diringi alunan piano Pensyarah Kanan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, Dr Mohd Fairuz Zamani untuk nyanyian Hanya di Mercu (senior) dan Jangan Menyerah serta Eneza Upendo (junior).
Les Chanteurs ditubuhkan tahun lalu (2023) yang hanya dibarisi 20 murid berusia 10 hingga 12 tahun; dengan Guru Pembimbing Adlia Syazana Abas.
Kumpulan itu pernah bergelar juara di peringkat negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun lalu, sebelum menerima anugerah lima kumpulan terbaik peringkat kebangsaan di Festival Gala Kesenian Malaysia pada September 2023 dan naib juara peringkat kebangsaan di Karnival Bahasa dan Kesenian, November 2023.
Salah seorang ahli Les Chanteurs Senior, Zoe Zef, 11, berkata, awalnya dia menyertai Les Chanteurs berikutan minatnya dalam nyanyian.
“Saya adalah antara barisan awal ahli pasukan 2023 yang pada ketika itu hanya dibarisi 20 murid.
“Berkat usaha dan kejayaan pasukan, kami berjaya akhirnya ke peringkat antarabangsa.
“Ini adalah satu perjalanan yang menarik dan mencabar. Bagaimanapun langkah ini adalah pendekatan yang sesuai dalam membina jati diri kami sebagai murid,” katanya.
Pertandingan koir antarabangsa MCE yang berlangsung selama lima hari bermula 6 November lalu menyaksikan lebih 160 pasukan koir dengan lebih 5,000 peserta bertanding dengan antara negara yang berentap ialah Indonesia, Filipina, Taiwan dan Singapura.
Pusingan pertandingan diadakan serentak di tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu Dewan Filharmonik Petronas, KLPAC dan Menara KEN Taman Tun Dr Ismail.-WILAYAHKU