Berita

Lepas, bebaskan kanak-kanak GISBH tidak boleh dilakukan semberono

- Diterbit 6 November 2024 3:38 PM MYT

PROSES melepas atau membebaskan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah-rumah amal GISBH melalui Op Global tidak boleh dilakukan secara semberono.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hal demikian kerana pelaksanaan Op Global melibatkan pelbagai pihak, bukannya satu pihak sahaja.

Menurut beliau, ia melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ramai lagi.

“Kalau kita lihat kepada data dan pelaporan-pelaporan yang telah dijalankan, sebenarnya semua pihak yang bersama-sama berkolaborasi ini bukanlah satu pihak sahaja.

“Agensi-agensi ini mempunyai SOP (prosedur operasi standard) dan juga mengikut lunas undang-undang yang ada.

“Dan, semua perkara tidak boleh dilakukan secara semberono,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sampai bila hampir 600 kanak-kanak berkenaan akan ditahan.

Zulkifli berkata, semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada agensi-agensi berkenaan dalam memainkan peranan sebaik-baiknya untuk melindungi kebajikan mereka yang terlibat.

Terdahulu beliau ketika menjawab soalan asal Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai pengukuhan SOP pelaporan berkata, JAKIM akan membangunkan sistem pelaporan berpusat yang membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes serupa secara terus kepada pihak berkuasa dengan tindak balas segera.

Katanya, penyelarasan aduan juga telah dilaksanakan secara strategik antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“JAKIM menyedari terdapat keperluan membuat penambahbaikan dalam gerak kerja bagi menangani isu-isu seumpama kes GISBH dan isu-isu berkaitan ajaran sesat di negara ini.

“Bagi kes ini, siasatan mendapati terdapat kes berkaitan ekploitasi kanak-kanak dan wanita yang didedahkan baru-baru ini menimbulkan keperluan untuk penambahbaikan segera dalam SOP pelaporan kes seumpama ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas