SEORANG lelaki warga emas ditemui lemas selepas terjatuh di kawasan Jeti Ujong Pasir, belakang Surau Nurul Islam, di sini, malam tadi.
Mangsa Lee Kam Wah, 79, sebelum itu berjaya diselamatkan orang awam namun tidak sedarkan diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 7.30 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati saksi melihat mangsa berjalan menghala ke jeti di kawasan berkenaan dan terjatuh ke laut di tepi jeti.
“Beberapa orang awam yang berada di atas bot bertindak menaiki perahu dan menyelamatkan mangsa.
“Namun mangsa tidak sedarkan diri selepas dibawa naik ke atas jeti. Ambulans dari Hospital Labuan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, bedah siasatan dijalankan pada Isnin dan punca kematian disebabkan lemas.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditemui tergantung di bahagian belakang pintu bilik rumahnya di Kampung Sungai Lada, di sini, 26 Jun lalu.
Mohd Hamizi berkata, mangsa berusia 47 tahun yang bekerja sebagai nelayan ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap.
“Kejadian disedari isterinya apabila hendak masuk ke dalam bilik tidur. Punca kejadian tidak dapat dipastikan.
“Sebelum kejadian lelaki terbabit hanya meminta semua ahli keluarganya iaitu isteri dan lima anaknya keluar rumah namun mereka enggan keluar,”katanya.
Mohd Hamizi berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). –WILAYAHKU