Berita

Lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita dalam acara hiburan: JAKIM akan panggil pihak berkaitan

- Diterbit 17 Februari 2025 6:15 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara hiburan yang berlangsung semalam.

Isu yang tular itu menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya juga telah menghubungi dan memanjangkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Hal demikian kerana katanya, suruhanjaya berkenaan bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular itu.

“JAKIM akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia.

Perkara tersebut tegas beliau, tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan berkenaan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Sesungguhnya Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan.

“Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.

“Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam,” katanya.

Dalam satu acara hiburan yang berlangsung semalam, tular di media sosial beberapa lelaki mengenakan pakaian menyerupai wanita dan dirakam ketika sesi karpet merah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas