LEBUH Raya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) akan ditutup sementara bermula Sabtu hingga Ahad ini bagi melancarkan acara perlumbaan berbasikal RHB LEKAS Highway Ride 2024 Edisi ke-9.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata penutupan jalan akan bermula pada pukul 5 petang Sabtu hingga 4 pagi Ahad ini.
Menurutnya, terdapat enam jalan utama yang terlibat dengan penutupan dan lencongan.
“Antaranya ialah Kilometer (KM) 2 Lebuh Raya Lekas menghala Seremban; susur keluar arah Bandar Teknologi dan susur masuk dari arah Semenyih.
“Seterusnya, Lebuh Raya Lekas susur keluar arah Ecohill; Jalan Bangi Lama susur masuk ke Lebuh Raya Lekas dan Jalan Eco Majestic menghala Lebuh Raya Lekas (Plaza Tol Eco Majestic),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar program tersebut dapat berjalan dengan lancar dan selamat.
“Pihak polis juga menasihati semua pengguna jalan raya elakkan dari melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan dan lencongan.
“Merancang perjalanan supaya tidak terlibat dalam kesesakan lalu lintas serta patuhi arahan pegawai anggota polis yang bertugas,” ujarnya. – WILAYAHKU