Berita

Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) alternatif penyuraian trafik negeri Perak

- Diterbit 30 Oktober 2024 3:22 PM MYT

MAJLIS Penyerahan Dokumen Perjanjian Konsesi Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway atau WISE telah pun disempurnakan petang tadi antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan syarikat East Coast Road Sdn Bhd.

Projek WISE yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun melibatkan pembinaan lebuh raya bertol dari Kuala Kangsar ke Gopeng melalui Siputeh dan Batu Gajah di Perak yang dianggarkan sepanjang 60.88 kilometer secara penswastaan.

Projek itu bakal menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan bagi laluan Kuala Kangsar, Terowong Menora-Gopeng.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata KKR menyokong projek WISE kerana jajaran Lebuhraya WISE menyediakan laluan alternatif kepada pengguna Terowong Menora yang sering menghadapi kesesakan disebabkan bilangan kenderaan berat yang tinggi.

“Ini berdasarkan profil dan topografi berbukit di kawasan Gopeng – Kuala Kangsar, Lebuhraya PLUS yang memperlahankan pergerakan kenderaan berat dan seterusnya memberikan kesan terhadap aliran trafik terutama di waktu puncak.

“Perkara ini akan dikeruhkan lagi sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di laluan tersebut. Berdasarkan rekod, statistik menunjukkan bahawa kadar kemalangan di seksyen Gopeng – Kuala Kangsar, Lebuhraya PLUS ini adalah tinggi walaupun pelbagai tindakan mitigasi telah dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Selain itu, Level of Service (LOS) semasa bagi Lebuhraya PLUS di seksyen Gopeng – Kuala Kangsar adalah pada tahap LOS D dan dijangka akan mencapai kapasiti penuh (LOS F) menjelang tahun 2030. Sekiranya Projek WISE tidak dilaksanakan, KKR menjangkakan kerajaan perlu melaksanakan pelebaran Lebuhraya PLUS dan ini akan memberi implikasi kewangan yang tinggi.

“Sehubungan itu, peralihan trafik dari Lebuhraya PLUS kepada WISE sebenarnya membantu menyuraikan kesesakan trafik di Lebuhraya PLUS dan juga memberikan alternatif kepada pengguna tanpa sebarang komitmen kewangan daripada kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan dokumen di Menara Kerja Raya.

Kadar tol yang ditetapkan bagi Lebuhraya WISE adalah sebanyak 23 sen per kilometer bagi tempoh konsesi selama 55 tahun termasuk empat tahun tempoh pembinaan. Kaedah penetapan kadar tol ini adalah unik kerana pertama kali dilaksanakan dalam negara dan ia pastinya memberikan manfaat kepada bakal pengguna lebuhraya kerana tiada kenaikan terhadap perbelanjaan rakyat untuk tempoh yang lama.

Lebuhraya WISE membabitkan enam persimpangan iaitu dua persimpangan di Kuala Kangsar, satu di Jerlun, satu di Siputeh dan dua lagi persimpangan di Gopeng. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas