Berita

Lebih sejuta mendaftar dengan PADU – Rafizi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 9 Januari 2024 10:55 AM MYT

LEBIH sejuta rakyat negara telah berjaya berdaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat pagi ini sejak dilancarkan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, jumlah angka tersebut termasuk kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

“Seluruh jentera kerajaan turun membantu untuk memastikan kita meminimumkan risiko keciciran dalam pelaksanaan subsidi bersasar melalui pendaftaran PADU.

“Teruskan momentum untuk beralih ke bantuan bersasar,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial X hari ini.

Sementara itu, Rafizi turut menyatakan, beliau memohon kerjasama dan bantuan rakyat dalam beberapa perkara.

“Bagi yang belum mendaftar, saya memohon agar segera mendaftar di pautan https://www.padu.gov.my/.

“Saya turut berharap agar orang ramai dapat membantu mendaftarkan, ibu bapa, keluarga dan jiran yang kurang mahir dengan digital termasuk jika ada keluarga miskin di sekeling kita,” ujarnya.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu membuka pendaftaran sejurus pelancaran sehingga 31 Mac ini.

Pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Sistem PADU bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas