Berita

Lebih banyak Proton di Mesir, Afrika

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir hadir pada Majlis Perasmian Proton Saga CKD Assembly Operation di Kaherah Mesir pada 12 November 2024. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 13 November 2024 12:55 PM MYT

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimis pelancaran kilang Proton di Mesir membuka jalan bagi peluasan strategik dalam sektor automotif di Afrika Utara.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Proton membawa visi menjadikan Mesir sebagai hab eksport ke pasaran Afrika Utara dengan sasaran pengeluaran 5,000 unit Proton Saga pada tahun depan.

Katanya, ia diikuti sasaran hingga 25,000 unit menjelang 2026.
“Inisiatif ini yang melibatkan pelaburan AS$35 juta juga menyokong dasar ekonomi Mesir untuk menggalakkan pemasangan tempatan sambil mengurangkan import CBU,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau memberitahu, MITI yakin pelaburan itu akan memperkukuh ekosistem ekonomi Mesir dan mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama automotif Malaysia yang terus berkembang di pentas antarabangsa.

Dalam lawatan rasminya ke Mesir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan kilang pemasangan tempatan (CKD) Proton Saga di Giza, Kaherah.

Menurut Perdana Menteri, keberadaan Malaysia di Mesir menerusi pembukaan kilang Proton sebagai rakan kongsi yang akan memulakan operasi pada bulan depan juga dibuat berdasarkan kepercayaan dan persahabatan yang dijalin selama ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas