SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) telah menerima sebanyak 7,422 permohonan bagi tujuan mengisi 3,200 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata pada masa kini urusan pengambilan masih di peringkat SPA dan pelantikan dijangkakan pada Disember 2024.
“Pengambilan secara lantikan kontrak (interim) mulai 1 Februari 2024 adalah merupakan keputusan Kerajaan pada 12 Julai 2023 yang bersifat sementara sebelum kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam dilaksanakan.
“Pegawai akan dilantik secara tetap menerusi suatu kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam tertakluk kepada prestasi dan perakuan oleh Ketua Jabatan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) pada sesi jawapan lisan di parlimen.
KKM berkata pihaknya turut menawarkan inisiatif tambahan iaitu elaun dan kemudahan kepada pegawai perubatan yang ditempatkan di luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Antaranya adalah Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan; Elaun Balik Kampung; Bayaran Insentif Pedalaman; Bayaran Imbuhan Perumahan Wilayah; dan Bayaran Insentif Arahan Pertukaran Wilayah.
“Selain itu KKM turut memberikan Tambang Ziarah Wilayah; Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar; dan Pergigian di Fasiliti Kesihatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan; dan Tambang Ihsan Wilayah” katanya. -WILAYAHKU