Berita

Lebih 4,000 tan metrik pengeluaran ikan susu pada 2024

- Diterbit 17 Januari 2025 4:27 PM MYT

PENGELUARAN ikan susu mencapai 4,203.59 tan metrik dengan nilai jualan borong sebanyak RM37.08 juta pada tahun lepas.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain, Kedah menjadi penyumbang utama dengan pengeluaran sebanyak 3,700.8 tan metrik diikuti Johor 454.97 tan metrik dan Sabah 46.51 tan metrik.

“Peningkatan dalam nilai pasaran juga mencerminkan potensi ikan susu untuk terus memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata ikan susu terkenal sebagai spesies yang mudah diternak, dengan kos operasi rendah kerana hanya memerlukan makanan berprotein rendah serta tinggi daya tahan penyakit yang menjadikannya pilihan ekonomi berdaya maju untuk penternak tempatan.

“Di Semenanjung Malaysia, Syarikat Usaha Fadzilat (M) Sdn Bhd menjadi antara perintis dalam usaha penternakan ikan susu secara komersial. DOF terus menyokong industri ini dengan mempromosikan teknologi penternakan ikan susu yang cekap seperti sistem kolam dan sangkar.

“Dengan kerjasama strategik antara pihak kerajaan dan swasta, pengeluaran ikan susu dijangka terus meningkat, menyumbang kepada kestabilan industri akuakultur dan memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.

Selain menjadi sumber protein untuk manusia, beliau berkata ikan susu juga diiktiraf sebagai alternatif bahan makanan ternakan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang menjadikannya pilihan yang strategik dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“DOF menyeru rakyat Malaysia memilih ikan susu sebagai sajian harian yang bukan sahaja menyokong industri akuakultur tempatan tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada perikanan tangkapan yang semakin terjejas akibat perubahan iklim dan penurunan sumber marin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas