Berita

Lebih 38,000 pelajar sekolah menengah diberi intervensi berhenti merokok

- Diterbit 11 November 2024 5:10 PM MYT

KIRA-kira 38,010 pelajar sekolah menengah telah didapati merokok dan telah diberikan intervensi bagi menghalang tabiat berkenaan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), angka tersebut di dapati melalui Pelan Advokasi lima tahun bagi memperkukuhkan lagi aktiviti pencegahan merokok sedia ada khususnya dalam kalangan belia.

Katanya, meskipun Dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) telah digugurkan daripada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan 2024 [Akta 852] KKM telah mengambil beberapa inisiatif meliputi aktiviti advokasi, pencegahan dan intervensi bagi mengurangkan tabiat merokok selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2021-2030.

“Antaranya adalah Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) ini telah dimulakan pada 2016 dan melibatkan sejumlah 2,413,761 pelajar sekolah rendah di seluruh Malaysia yang telah disaring.

“Daripada jumlah yang disaring, seramai 374 pelajar didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok. Bagi pelajar sekolah menengah pula, seramai 1,540,035 pelajar telah disaring dan 38,010, pelajar yang didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok,” katanya dalam jawapan lisan parlimen

KKM berkata pihaknya juga turut menjalinkan kerjasama atau sinergi strategik dengan kementerian dan agensi lain.

” Kerjasama ini termasuk dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dalam menguat kuasa larangan membawa masuk produk merokok ke dalam fasiliti sukan di bawah kelolaan KBS adalah langkah strategik yang amat penting untuk mempromosikan gaya hidup sihat.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan pendedahan kepada merokok, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai risiko kesihatan yang berkaitan, terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.

KKM berkata dalam usaha membendung tabiat merokok dalam kalangan belia, pihaknya turut menganjurkan program bersama pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Terbaharu, pelaksanaan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) iaitu satu program baharu yang merupakan simbolik kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Konsep walkabout ini menitikberatkan transformasi tingkah laku dan pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Ujar KKM, pihaknha turut menganjurkan Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Program di universit.

“Ia satu program di mana setiap Pusat Kesihatan Pelajar menyediakan perkhidmatan kepada mahasiswa yang ingin berhenti merokok.

“Hingga kini, sejumlah 16 Pusat Kesihatan Pelajar telah menyediakan perkhidmatan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas