LEBIH 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, untuk itu kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.
“Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna pada mesyuarat (sidang Dewan Rakyat) akan datang,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Kata beliau, sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’.
Katanya, peranan institusi kehakiman sebagai badan bebas terus diperkasa.
Justeru jelasnya, lebih RM60 juta disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital.
“Peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang juga dinaikkan kepada RM209 juta berbanding RM194 juta, sesuai dengan komitmen reformasi perundangan dan institusi,” katanya. – WILAYAHKU