Berita

Lebih 3,000 bendera WP berkibar Kuala Lumpur

- Diterbit 31 Januari 2024 1:39 PM MYT

SEBANYAK 3,000 gegantung bendera Wilayah Persekutuan menghiasi laluan di sepanjang jalan-jalan utama manakala 1,550 unit pula dipasang di tiang lampu di sekitar Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, pemasangan bendera di jalan utama melibatkan Jalan Raja Laut, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail.

“DBKL turut mengeluarkan surat kepada pemilik-pemilik bangunan di Kuala Lumpur untuk turut bersama-sama memeriahkan lagi Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 dengan memasang bendera Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur di bangunan milik mereka.

“DBKL juga turut mengedarkan 40,000 unit bendera pelbagai saiz kepada setiap wakil parlimen untuk edaran kepada zon, sub zon, Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakya(PPR).

“Pemasangan bendera ini turut dipasang oleh dewan-dewan DBKL, jejantas dan taman-taman awam,” jelas DBKL menerusi kenyataan itu.

Tambah DBKL, sempena Sambutan Hari Wilayah tahun ini, DBKL telah merancang 11 program yang bakal dianjurkan antaranya Teaterikal Gemuruh di Panggung Bandaraya pada 23 hingga 25 Februari dan Marathon Basikal @ GFNY Kuala Lumpur 2023 di Dataran Merdeka pada 25 Februari nanti.

“Selain itu, DBKL akan menganjurkan Wacana Ilmu Malaysia Madani: 50 tahun WP di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Mac 2024, Majlis Berbuka Puasa Karnival 50 tahun 2024 dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam pada itu, pihak DBKL mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2024 kepada seluruh warga kota dan menyeru bersama-sama menyemarakkan hari penuh bermakna ini dengan hiasan bendera di kediaman masing-masing. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas