Berita

Lebih 272 koleksi dan item koleksi peribadi Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofia dipamerkan pada Pameran Raja Kita

Kredit: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
- Diterbit 25 Julai 2024 4:52 PM MYT

LEBIH 272 koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah akan dipamerkan pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara bermula esok.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Agong Dagang berkata pameran khas yang berlangsung sehingga 29 Sept itu antara lain mempamerkan koleksi regalia Persekutuan, koleksi peribadi Seri Paduka Baginda berdua, koleksi pinjaman dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Muzium Diraja Abu Bakar Johor.

Beliau berkata terdapat juga koleksi bersejarah seperti manuskip dan dokumen perjanjian berkaitan Institusi Raja daripada agensi lain termasuk Arkib Negara dan Perpustakaan Negara.

Lebih menarik, elemen utama yang diketengahkan dalam pameran itu ialah berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang ditandatangan dan diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar pada 14 September 1895 di Istana Besar Johor, katanya.

“Pameran ini juga diadakan sebagai satu inisiatif untuk mengangkat Institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Konsep Raja Berperlembagaan agar ia terus terpelihara sebagai lambang kedaulatan yang memayungi setiap rakyat negara ini.

“Ini membolehkan rakyat menghayati Institusi Yang di-Pertuan Agong di samping mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian Seri Paduka Baginda, sekali gus menyemarakkan slogan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’, “ katanya pada majlis perasmian Pameran Raja Kita di sini, hari ini.

Aaron berkata pameran itu menterjemahkan kepada rakyat mengenai Institusi Raja Berperlembagaan yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri, harus dipertahankan dan diperjuangkan sebagai kedaulatan negara bangsa selaras Rukun Negara yang kedua, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Beliau berkata institusi itu penting kerana ia menjadi ‘payung kedaulatan negara’ menaungi seluruh rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan etnik seterusnya mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang sayangkan negara, patriotik dan bersatu padu kerana raja adalah simbol payung negara.

“Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kementerian ini, penghayatan terhadap nilai-nilai penting Rukun Negara akan terus diperkasakan di semua peringkat dan lapisan masyarakat.

“Usaha-usaha ini akan terus dipergiatkan lagi sempena Sambutan 55 Tahun Rukun Negara tahun depan,” katanya.

Aaron seterusnya memaklumkan Muzium Diraja di Jalan Istana akan dibuka semula kepada orang awam pada tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas