Berita

Lebih 25,000 hadir Konsert The Journey Of Sound… Siti Nurhaliza, Judika kukuhkan persahabatan Malaysia-Indonesia

- Diterbit 15 Disember 2024 8:00 PM MYT

LEBIH 25,000 penonton hadir menyaksikan Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza (Konsert The Journey of Sound) yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Apa yang istimewa, Konsert yang menggabungkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Judika (Indonesia) secara tidak langsung telah memperkukuhkan persahabatan erat antara Malaysia dan Indonesia melalui seni muzik.

Dalam konsert tersebut, gabungan muzik bersatu apabila Siti dan Judika menyanyikan lagu-lagu yang popular di kedua-dua negara ini iaitu Kisah Ku Inginkan, Bukan Dia Tapi Aku, Wajah Kekasih, Buih Jadi Permaidani, Hal Hebat, Setengah Mati Merindu, Nirmala
dan Fantasia Bulan Madu.

Bukan itu sahaja, para peminat dari Indonesia juga sanggup ‘terbang’ ke Malaysia kerana tidak mahu melepaskan detik-detik bersejarah itu.

Untuk segmen solo, Siti mempersembahkan lagu Bukan Cinta Biasa, Siti Situ Sana Sini, Ku Milikmu, Bicara Manis Menghiris Kalbu, Balqis Kesilapanku Keegoanmu, Pastikan dan banyak lagi.

Manakala Judika pula menggegarkan stadium dengan lagu-lagunya seperti, Sampai Akhir, Mama Papa Larang, Aku Yang Tersakiti,Tak Mungkin Bersama, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik dan banyak lagi.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir yang menyampaikan tiga lagu popularnya iaitu Mahakarya Cinta, Guitar, Sampai Syurga serta Santai dan OK secara medley.

Antara momen menarik sepanjang konsert tersebut antaranya adalah Siti dan Judika diarak masuk ke dalam stadium menaiki kereta sport mengelilingi stadium sebelum muncul di pentas.

Majoriti penonton yang hadir dilihat mengikut tema putih dan denim itu turut diberikan LED wristband membuatkan suasana stadium lebih menarik daripada kerusi penonton.

Selain itu, langit Stadium Merdeka turut diserikan dengan pertunjukan bunga api berskala besar selama beberapa minit di samping pencahayaan dari Menara Merdeka 118.

Bukan itu sahaja, dua penonton bertuah telah membawa pulang sebuah kereta jenama BMW dan sebuah skuter. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas