LEBIH 112,000 permohonan kes diluluskan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi Program Pengurusan Kredit (DMP) dengan RM3.2 bilion bayaran balik hutang dicatatkan antara 2023 sehingga tahun lalu.
Perkara itu dinyatakan agensi berkenaan menerusi Laporan Dwi-Tahunan AKPK 2023-2024 yang dibentangkan di ibu negara hari ini.
Laporan setebal 65 muka surat itu mencatatkan 52,057 kes diluluskan pada 2023 melibatkan isu rumah, meningkat 50 peratus berbanding 34,670 kes pada tahun sebelumnya.
Jelas AKPK, namun pada tahun lalu, sejumlah 60,155 kes melibatkan individu dan 1,697 kes perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diluluskan.
“Bayaran balik di bawah DMP meningkat kepada RM1.49 bilion pada 2023 berbanding RM1.31 bilion pada 2022,” jelas laporan yang dibentangkan bersempena majlis Raya Harmoni, Kebersamaan Dirai itu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.
AKPK memberitahu, pada 2024, bayaran balik di bawah DMP meningkat kepada RM1.73 bilion.
Katanya, sebelum menyertai DMP, ramai peserta mempunyai nisbah khidmat hutang (DSR) melebihi 80 peratus menyebabkan mereka hampir tiada pendapatan boleh guna.
Namun begitu jelasnya, menerusi DMP, peserta berjaya mengurangkan DSR kepada purata 40 peratus. – WILAYAHKU