Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Lebih 11.5 juta rakyat kemas kini maklumat dalam PADU

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 25 Jun 2024 9:35 PM MYT

SEHINGGA 31 Mac lalu, seramai 11,554,134 juta individu telah mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya pelaksanaan PADU yang melibatkan beberapa fasa, iaitu Fasa 1 yang melibatkan pembangunan sistem, pengumpulan dan pengintegrasian data daripada pelbagai agensi serta pengemaskinian maklumat oleh warganegara dan pemastautin tetap yang tinggal di Malaysia. 

“Seterusnya Fasa 2 pula akan melibatkan proses penentuan golongan sasar serta pembentukan use case dan mekanisme pemberian subsidi bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Menjelas lanjut, Rafizi berkata PADU juga akan dapat membantu kerajaan untuk menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dengan menggunakan kaedah pendapatan boleh guna bersih.

“Kaedah ini akan mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah. 

“Selain dapat mengurangkan keciciran dan inclusion and exclusion error, kaedah ini akan turut membolehkan kerajaan beralih daripada pengenalpastian kumpulan sasar berdasarkan konsep B40, M40 dan T20 kepada pendekatan berdasarkan kewajaran pemberian bantuan mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan PADU tidak hanya tertumpu kepada penyasaran semula subsidi dan bantuan tetapi turut bertujuan mengenal pasti tahap sosioekonomi rakyat dan penentuan penyaluran bantuan. 

“Data yang terdapat dalam PADU boleh membantu menghasilkan algoritma use case yang terpilih berdasarkan keperluan dan dasar semasa kerajaan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Ekonomi akan memanfaatkan data PADU bagi pelaksanaan program di bawah kementerian seperti Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di mana proses validasi dan verifikasi permohonan IPR akan menggunakan data PADU.

“Kerajaan akan terus mempergiat usaha menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan terutamanya dalam memanfaatkan data PADU bagi memastikan program yang dilaksanakan memberi manfaat yang diinginkan kepada kumpulan sasar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas