Berita

Lebih 100,000 pengunjung rai Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya 

PENGUNJUNG dari dalam dan luar negara memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2023.
- Diterbit 31 Ogos 2023 5:49 AM MYT

LEBIH 100,000 hadir membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan acara gilang gemilang Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang diadakan hari ini.

Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 7.30 malam semalam (Rabu).

“Kehadiran serta sokongan orang ramai dalam acara ini membuktikan semangat patriotik yang kekal subur dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai usia, bangsa, agama dan latar belakang,” katanya dalam Sidang Media Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang diadakan di Dewan Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya.

Fahmi berkata sambutan kali ini dimeriahkan dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Ia melibatkan seramai 42 orang peserta dan penampilan khas 66 buah motosikal Royal Enfield.

“Turut dipamerkan ialah aksi terjunan tepat VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), persembahan 400 pergendangan, 36 kumpulan pancaragam dan persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 bertajuk ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ oleh 1,500 orang peserta,” ujar beliau.

Tambahnya, acara perbarisan dan perarakan yang menjadi tarikan utama sambutan telah dijayakan oleh 17,826 orang peserta melibatkan 66 kontinjen.

“Kontinjen ini dibahagikan kepada sembilan komponen iaitu kenegaraan, perpaduan Malaysia MADANI, ekonomi, perbankan, telekomunikasi, industri kreatif dan penyiaran, sukan negara, kesejahteraan serta keselamatan negara. Sebanyak 537 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta aset haiwan sebanyak 100 ekor turut dipertontonkan.

“Kemeriahan Hari Kebangsaan ini akan diteruskan dengan Kembara Kenali Borneo di Sabah dan Sarawak bermula 3 hingga 11 September diikuti Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2023 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak,” jelasnya.

Berkongsi mengenai kemeriahan tahun ini, Fahmi berkata ia diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kenamaan.

“Saya rasa satu saat yang tak boleh dilupakan apabila agong dan permaisuri agong berkenan menyantuni rakyat dan juga peserta sebelum keberangkatan pulang,” ujar beliau ia merupakan satu kenangan manis buat seluruh rakyat Malaysia.

Terdahulu, Sambutan Hari Kebangsaan 2023 turut diraikan secara serentak di seluruh negara bermula pukul 7 pagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas