Berita

Lebih 10,000 belia banjiri Dataran Merdeka

- Diterbit 9 September 2024 12:47 AM MYT

LEBIH 10,000 belia memeriahkan Fiesta Belia Merdeka 2024 yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, program tersebut mensasarkan tujuh kategori kumpulan sasaran belia.

“Antaranya adalah Belia berpersatuan, Belia Massa, Belia antarabangsa, Belia Berisiko, Belia Bekerjaya, Belia IPT dan Belia bersekolah.

“Kita mengumpulkan golongan belia terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi menyemai semangat patriotisme di kalangan anak muda,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Fiesta Belia Merdeka 2024 hari ini.

Azman berkata program ini juga bertujuan untuk memperkukuh semangat kemerdekaan di kalangan belia sambil memupuk kepimpinan dan kesedaran sosial dalam kalangan generasi muda.

“Acara ini juga merupakan platform bagi belia untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka melalui pelbagai aktiviti dan program yang telah disusun sepanjang hari.

“Antara program yang telah disusun adalah Fitness Dance Marathon, Karnival Kerjaya oleh PERKESO, Bike Show, Forum Belia Berisiko, Pertandingan Filem Pendek, Hari Rock Negara dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China,” ujarnya.

Terdahulu, acara ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) belia termasuk International Youth Centre (IYC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KL Care dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas