Berita

Lebih 10 institusi kewangan sediakan fasiliti pembiayaan pemasangan panel solar

- Diterbit 16 November 2024 3:00 AM MYT

LEBIH 10 institusi kewangan menyediakan fasiliti pembiayaan kepada pengguna untuk tujuan pemasangan sistem solar PV di premis bangunan masing-masing.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), penyediaan pembiayaan itu dilakukan melalui Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Pemasangan Solar PV untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).

Institusi kewangan tersebut adalah:
i. Hong Leong Bank – Pinjaman Solar Plus HLB;
ii. BSN – BSN MyRinggit-i untuk Solar;
iii. Bank Rakyat – Personal Financing-i for Solar;
iv. Maybank – Pembiayaan Solar PV Sistem;
v. Affin Bank – Pembiayaan Solar-i AFFIN;
vi. Bank Muamalat Malaysia – Solar Panel Financing;
vii. Public Bank – Solar BAE Term Financing-i;
viii. Alliance Bank – Solar Financing;
ix. CIMB Bank – SME Renewable Energy Financing; dan
x. OCBC – Solar Panel Financing.

“Selain penyediaan pembiayaan secara pinjaman, bank tempatan seperti Maybank, Public Bank, CIMB, Alliance Bank, OCBC, UOB dan lain-lain bank turut menawarkan kemudahan bayaran ansuran kad kredit sehingga 60 bulan.

“Ia untuk pengguna domestik yang melakukan pembayaran pemasangan sistem solar melalui kad kredit,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

PETRA menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai bilangan institusi kewangan yang menyediakan fasiliti pinjaman bagi memasang panel solar.

Kementerian itu menambah, pihaknya akan terus meneliti dasar pembangunan solar di negara ini dan meneruskan usaha menyediakan inisiatif pembangunan serta program solar yang bankable.

“Ini bagi menarik minat dan penyertaan institusi kewangan dalam menyediakan pakej pembiayaan kepada pengguna,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas