LAWATAN rasmi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia adalah simbol keakraban hubungan diplomatik dua negara yang berkongsi sempadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa berkata lawatan itu juga adalah untuk kepentingan strategik di rantau ini.
“Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet, saya menghadiri Majlis Istiadat Sambutan Rasmi sempena Lawatan Rasmi Paetongtarn ke Malaysia,” katanya di Facebook.
Menurut Zaliha, sebagai kunjungan rasmi pertama Paetongtarn selepas pelantikannya, lawatan ini menjadi medan penting untuk memperkukuh hubungan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata melalui Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC), pelbagai isu strategik dibincangkan, termasuk perdagangan, keselamatan sempadan, dan kerjasama rakyat dengan rakyat.
“Hubungan erat antara Malaysia dan Thailand bukan sahaja penting kepada kedua-dua negara, malah kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.
“Semoga hubungan ini terus utuh, membawa kemajuan bersama dan memperkukuh perpaduan ASEAN,” katanya.
Ini merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lalu. – WILAYAHKU