SEBANYAK 23 misi penggalakan pelaburan (TIM) termasuk 14 lawatan rasmi diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara sejak 2023 sehingga September lalu dilaksanakan dengan potensi pelaburan RM436.2 bilion telah dihasilkan dalam tempoh itu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, pada tahun lalu kementerian itu bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah melaksanakan 12 TIM termasuk lapan lawatan rasmi Anwar antaranya ke China, Jepun, Amerika Syarikat, Itali, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
Katanya, potensi pelaburan berjumlah RM353.6 bilion dihasilkan melalui TIM dan lawatan rasmi tersebut.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM32.8 bilion nilai pelaburan telah diluluskan yang dijangka mewujudkan lebih daripada 6,400 peluang pekerjaan.
“Pelaburan sebanyak RM29 bilion pula dijangka dimuktamadkan dalam tahun ini manakala RM289.4 bilion disasar akan dimuktamadkan di antara 2025 hingga 2027,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MITI menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai nilai dan status pelaburan asing ke dalam negara yang telah direalisasikan berbanding nilai pelaburan yang diumumkan dalam siri lawatan luar negara oleh Perdana Menteri sehingga kini.
Menurut MITI, bagi tempoh Januari sehingga September lalu pula, sebanyak 11 TIM termasuk enam lawatan rasmi diketuai Perdana Menteri telah dilaksanakan ke Jerman, Perancis, Itali, Australia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Jepun, India, Singapura dan Thailand.
Katanya, potensi pelaburan yang dihasilkan berjumlah RM82.6 bilion.
Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak RM30.9 bilion nilai pelaburan telah diluluskan manakala sebanyak RM26.8 bilion dijangka dimuktamadkan dalam tahun ini.
“Nilai pelaburan sebanyak RM30.4 bilion pula dijangka dimuktamadkan dalam tahun 2025 hingga 2027.
“Ingin dijelaskan bahawa pelaburan yang direalisasikan merujuk kepada projek yang telah memulakan operasi, sedang dalam pembinaan bangunan atau kilang, atau sedang di peringkat pemasangan mesin dan peralatan,” katanya.
Tambah MITI, pelaksanaan projek perkilangan secara lazimnya mengambil masa di antara 18 sehingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung kepada kompleksiti, skala projek dan keadaan ekonomi semasa.
Katanya, oleh kerana pelaburan besar memerlukan masa untuk direalisasikan dan mematuhi proses yang kompleks, MITI sentiasa melaksanakan pemantauan rapat serta perbincangan strategik bersama pelabur.
“Proses susulan ini adalah kritikal untuk memastikan setiap komitmen pelaburan yang dijanjikan dapat ditukar kepada pelaksanaan yang sebenar, dalam tempoh yang optimum.
“Kami di MITI bersama MIDA sentiasa memastikan setiap pelaburan berpotensi mendapat sokongan penuh kerajaan melalui insentif yang kompetitif dan penyelarasan antara pelbagai agensi yang terlibat.
“Dengan kerjasama yang bersepadu, kami yakin Malaysia terus menjadi destinasi utama pelaburan global yang akan menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara,” katanya. – WILAYAHKU