Berita

Lawatan negara Xi jinping perkukuh hubungan Malaysia-China

Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.
- Diterbit 14 April 2025 9:40 AM MYT

PRESIDEN China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut Wisma Putra, Xi akan diiringi oleh menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“Hubungan diplomatik Malaysia dan China telah terjalin sejak 31 Mei 1974. Kedua-dua negara, yang telah meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun lalu, menikmati hubungan dua hala yang kukuh.

“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara oleh Presiden Xi pada tahun ini,” jelasnya dalam kenyataan.

Jelas Wisma Putra, semasa lawatan negara terakhir Xi ke Malaysia pada 2013, kedua-dua negara telah menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Katanya, semasa lawatan negara kali ini, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Seri Paduka juga berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara.

“Presiden Xi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama,” katanya.

Wisma Putra memaklumkan kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman, perjanjian dan nota antara Malaysia dengan China.

Katanya, Perdana Menteri akan turut menghoskan satu majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan Xi.

“Sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China melalui dialog, kesalingpercayaan dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China,” jelasnya.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM484.12 bilion pada 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas