PROGRAM lawatan Persatuan Penggiat Media Labuan ke Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini membantu meningkatkan penglibatan media dalam mempromosikan produk-produk pelancongan domestik di Wilayah Persekutuan.
Antara lokasi yang disenaraikan dalam program empat hari dua malam yang disertai 12 pengamal media Labuan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia, Royal Selangor, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara dan Rumah Persekutuan.
Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin berkata program anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan (PL) itu turut memberi peluang kepada mereka untuk berkunjung ke lokasi bersejarah di Kuala Lumpur dan Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Terima kasih kepada JWP dan PL kerana sudi menganjurkan program khas ini di mana kami juga dapat merasai suasana Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 secara langsung dan sudah tentunya ia satu pengalaman yang bermakna kepada kami.
“Diharapkan kerjasama yang terjalin di antara JWP dan PL dapat membawa kegemilangan kepada Wilayah Persekutuan,” ujarnya kepada Wilayahku.
Dalam sesi rangka lawatan itu, rombongan tersebut berpeluang menyaksikan program Malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka Kuala Lumpur selain turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Rosida Jaafar di Menara Seri Wilayah. – WILAYAHKU