PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara keseluruhan lawatan ke India mencapai objektif di mana perbincangan mendalam dan secara telus antaranya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Beliau berkata dalam lawatan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan hubungan Malaysia-India ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Menurutnya, lawatan itu juga berjaya meraih potensi perdagangan sebanyak RM8 bilion dalam sektor minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, bahan dan produk kimia, minyak dan gas serta bahan alat ganti kapal terbang.
“Penghargaan saya kepada kerajaan India atas layanan sahabat juga kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak Pesuruhjaya Tinggi serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya di Facebook.
Sebelum itu, Anwar berkata semalam beliau turut bertemu Ketua Pembangkang Parlimen India, Rahul Gandhi yang juga sahabat baiknya.
Beliau berkata dalam pertemuan singkat itu sempat bertukar pandangan terkait situasi politik kedua-dua negara selain membincangkan isu-isu mutakhir yang berlaku di rantau ini. – WILAYAHKU