Berita

Lawatan 11 hari bukan omong kosong

Selepas lawatan kerja selama 11 hari‚ Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim Selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)‚ Sepang baru-baru ini. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 2 Disember 2024 3:43 PM MYT

TIDAK habis-habis dengan fitnah dan rasa ego tidak mahu menerima  kehebatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Baru-baru ini Anwar menyifatkan lawatan beliau ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lepas, menyerlahkan semula sinaran Malaysia di persada dunia.

Nampaknya segelintir netizen sedang ‘panas punggung’ dan tidak boleh terima hakikat yang pemimpin utama negara kita itu sedang membawa Malaysia ke satu fasa yang lebih tinggi.

Bukan itu sahaja, dituduh pula Anwar berjalan-jalan ke negara-negara luar itu hanya untuk keseronokan peribadi dan tidak memberi apa-apa faedah kepada negara.

Buktinya, menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata lawatan sepanjang 11 hari itu penuh bermakna tatkala Malaysia terus melangkah dengan keyakinan dan penuh tawaduk.

Beliau berkata, lawatan berkenaan antaranya bagi memenuhi undangan rasmi dan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan dari 19 negara telah mengeratkan hubungan antarabangsa dan membuka jalan kepada peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara ketika landskap geopolitik dunia sarat dengan ketidaktentuan.

“Dalam pelbagai pertemuan rasmi dan dialog itu, usaha tertumpu kepada aspek memantapkan kerjasama dalam pelaburan, perdagangan dan inisiatif bersama yang bermanfaat dan dirasai oleh rakyat khususnya serta komuniti ASEAN amnya.

“Apa yang paling berharga bukanlah semata-mata pencapaian atau perjanjian yang termeterai, tetapi semangat kebersamaan dan sikap masyarakat antarabangsa yang mengambil serius pandangan Malaysia, sebuah negara yang sentiasa tegas mendukung nilai keinsanan, keadilan, menjulang kecemerlangan serta inklusif,” kata beliau.

Menerusi hantaran sama, Anwar berazam mahu terus mengangkat martabat rakyat.

“Saya dan pasukan juga sedang merangka persiapan menerima kunjungan rasmi barisan pemimpin utama dari pelbagai negara pada Disember nanti, insya-Allah.

“Doakan agar setiap usaha ini terus diberkati dan menjadi asas trajektori baharu masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia. Saya dan pasukan kerajaan MADANI akan terus mendengar, berkhidmat dan mengangkat darjat serta martabat rakyat dan negara di persada dunia,” ujarnya.

Sebelum ini, Anwar juga pernah menjelaskan kepada rakyat bahawa Malaysia kini semakin mendapat perhatian dunia termasuk negara maju menyatakan hasrat meningkatkan hubungan diplomatik, perdagangan dan pelaburan.

“Saya lihat suara kita, pandangan kita umpamanya, banyak negara yang minta supaya hubungan ditingkatkan, mengundang kita ke sana dan telah menyatakan keinginan mereka untuk melawat Malaysia.

“Ini termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, semua menyatakan bahawa awal tahun depan mereka berhasrat untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media akhir bersama media Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan sulung beliau ke Brazil dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janerio, Brazil.

Cukup-cukuplah memfitnah negara semakin ke belakang sejak pemerintahan kerajaan MADANI. Semakin dihina, semakin hebat pandangan orang luar kepada Perdana Menteri kita. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas