Berita

Laungan keramat jadi saksi titik perjuangan reformasi – Zaliha

- Diterbit 21 September 2024 3:41 PM MYT

LAUNGAN keramat pada Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil semalam menjadi saksi titian sebuah perjuangan 26 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata bermula dari ‘reformasi’ dan peritnya sebuah perjuangan yang kini membuahkan hasil sebagai ‘Malaysia Madani’.

“Semoga semangat perjuangan kita semua terus menyala dan membara demi sebuah Malaysia yang makmur lagi maju,” katanya di Facebook.

Lebih 20,000 orang menyertai Himpunan Keadilan itu semalam.

Tanggal 20 September adalah tarikh keramat buat pejuang reformis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pada waktu itulah tercetusnya detik kebangkitan rakyat memperjuangkan keadilan.

Ia juga hari bersejarah buat Malaysia kerana pada waktu itu Anwar ditahan dan seterusnya dipenjarakan susulan perjuangannya menentang kebobrokan pemerintah ketika itu yang didakwa diselubungi rasuah, nepotisme dan kronisme.

Kini sudah genap 26 tahun peristiwa itu. Himpunan itu diusahakan oleh PKR bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan mahasiswa.

Antara pemimpin PKR yang hadir dalam himpunan itu adalah Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas