PROGRAM National Youth Leadership Training Course (NYLTC) anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menjadi wadah dalam melatih generasi pemimpin baru.
Pengarahnya, Zairin Adam Abdul Aziz berkata NYLTC merupakan satu inisiatif dan platform latihan bertujuan untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa, berkemahiran tinggi, khususnya dalam kalangan ahli-ahli Pengakap, agar mereka bersedia mewakili Persekutuan Pengakap Malaysia dalam pelbagai program di peringkat antarabangsa.
“Program ini juga menjadi platform awal dalam proses pemilihan delegasi Malaysia ke program serantau dan antarabangsa, termasuk Asia-Pacific Scout Youth Forum 2025 Kali Ke-11 yang akan berlangsung di Taiwan pada Oktober depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Zairin Adam berkata NYLTC ini memberi tumpuan kepada persediaan peserta untuk menjadi ejen perubahan yang berfikiran global namun mampu bertindak secara glokal.
“Kursus ini menyasarkan penyertaan Pengakap Kelana berumur antara 18 hingga 25 tahun dari seluruh negara yang telah dikenal pasti untuk mewakili PPM Negeri masing-masing.
“Ia juga menyahut seruan Gerakan Pengakap Sedunia bagi memperkukuh penglibatan muda-remaja dalam proses membuat keputusan dan kepimpinan organisasi,” katanya.
Tambahnya NYLTC akan menampilkan fasilitator berpengalaman dari dalam dan luar negara, termasuk wakil daripada World Scout Bureau, yang akan memberikan panduan, bimbingan serta input berkualiti dalam penilaian dan pembangunan peserta.
Berkongsi lanjut, Zairin Adam berkata setakat ini, seramai 53 peserta telah mendaftar, dan mereka bakal mengikuti pelbagai sesi interaktif merangkumi pembinaan jati diri, kepimpinan advokasi, pengurusan projek komuniti, penjenamaan diri serta pelaksanaan inisiatif berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang tahun 2030.
“PPM turut mengalu-alukan penglibatan rakan strategik dan tenaga profesional dalam menjayakan kursus ini, demi melahirkan pemimpin belia yang bukan sahaja aktif dalam pergerakan Pengakap, malah bersedia mengangkat suara generasi baharu ke peringkat global,” katanya.
Buat julung kalinya, PPM menganjurkan National Youth Leadership Training Course dari 17 hingga 20 April 2025 di Ibu Pejabat Kebangsaan PPM, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU