BERKUAT kuasa serta-merta sehingga diberitahu‚ pengusaha bas diarah menghentikan penggunaan soket elektrik tiga pin dan pengecas USB untuk mengecas peralatan elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba.
Penggantungan dibuat ekoran kematian seorang remaja ketika mengecas telefon bimbit di dalam sebuah bas ekspres di terminal bas Penang Sentral baru-baru ini. Arahan tersebut susulan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Menurut Menteri Pengangkutan‚ Anthony Loke‚ antara rumusan siasatan ialah pendawaian dilakukan oleh pihak ketiga yang tidak disahkan. Justeru untuk memastikan keselamatan‚ arahan menyeluruh diberi kepada semua syarikat pengusaha bas menghenti penggunaan soket tiga pin dan pengecas USB.
Kawan-kawan Kedai Kopi faham penyediaan soket bertujuan memberi kemudahan kepada penumpang ketika dalam perjalanan. Namun apabila berlaku insiden di luar jangkaan‚ memang wajar penggunaan digantung sementara dan semua prosedur pendawaian diteliti semula.
Pengusaha bas digalak menjalankan pemeriksaan teliti pendawaian serta kemudahan di dalam bas oleh pihak yang disahkan dan diakui oleh Suruhanjaya Tenaga.