Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Lapor segera jika menjadi mangsa pecah lot tanah rizab Melayu – SPRM

- Diterbit 29 Mei 2024 4:04 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak yang percaya mereka telah menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes seperti itu dari negeri-negeri lain dan menyifatkan apa yang berlaku di Perak baru-baru ini sebagai kes terpencil.

“Sekiranya SPRM menerima apa-apa maklumat atau laporan mengenai penyelewengan hal-hal berkaitan perkara jenayah yang menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal (free hold) merupakan kesalahan jenayah yang sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Azman Adnan.

Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Setiawan, Perak. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas