Berita

Lapan penjaga parkir haram dihukum penjara, denda

- Diterbit 11 Jun 2024 12:05 PM MYT

SERAMAI lapan individu terlibat kegiatan ulat parkir atau penjaga parkir haram sekitar pusat bandar dikenakan hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

DBKL menerusi Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Tindakan Khas Penjaga Parkir Tanpa Kebenaran (Ops Jaga) Siri 10/2024 sekitar Jalan Kamunting, Jalan Sultan Ismail, Jalan Kemuja, Jalan Sultan, Jalan Beremi dan Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur Ahad lepas.

DBKL dalam satu hantaran di Facebooknya berkata hasil operasi khas yang dijalankan pada siri kali ini, seramai lapan individu warga tempatan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita telah ditahan.

“Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi (pendakawaan mahkamah/kertas siasatan).

“Hasil dari keputusan Mahkamah Majistret DBKL semasa sesi pendakwaan pada pagi Isnin, tiga orang telah dikenakan hukuman penjara 30 hari dan tiga orang telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM 500 hingga RM 1,500.

“Tindakan penguatkuasaan dibuat melalui peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 50(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

DBKL menegaskan, pihaknya akan meneruskan pemantauan, risikan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi tumpuan (hotspot) berkaitan, terdapatnya individu-individu yang menjaga dan mengutip wang parkir tanpa kebenaran di kawasan awam melibatkan bahu jalan, siar kaki, kawasan lapang atau mana-mana petak letak kereta awam sedia ada pada siang dan waktu malam.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan.

“Sebarang aduan atau maklumat, orang awam boleh menyalurkan melalui portal ADU@KL di laman sesawang http://adukl.dbkl.gov.my,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas